16 Sept : Hari Malaysia

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

 

Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6. Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.

 

Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.  Mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia.

 

Mencari Nilai Hari Malaysia

 

 

TANGGAL 16 September tahun ini, usia Malaysia sebenarnya baharu mencecah 46 tahun. Tarikh ini pada tahun 1963, Persekutuan Malaysia dirasmikan penubuhannya serta diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

 

Perisytiharan dibuat di Stadium Merdeka disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30 ribu rakyat jelata.Penubuhan Persekutuan Malaysia ditentang hebat oleh Indonesia dan Filipina. Indonesia tidak senang dengan penubuhan Persekutuan Malaysia lantas, melancarkan konfrantasi ketenteraan di bawah slogan "Ganyang Malaysia" yang berlanjutan sehingga tahun 1966.

 

Filipina pula menuntut haknya ke atas Sabah atas hujahan perjanjian yang dimeterai antara Kesultanan Sulu dengan pihak British. Brunei yang turut termasuk dalam rancangan penubuhan Persekutuan Malaysia membatalkan penyertaannya setelah berdepan dengan pemberontakan besar-besaran di Brunei oleh Sheikh Azhari pada penghujung 1962.

 

Sekalipun begitu, akhirnya pada 9 Julai 1963, Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia dimeterai di London hanya setelah Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan menyatakan, lebih 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan kemerdekaan melalui penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu.

 

Tarikh perasmian pengisytiharan Persekutuan Malaysia telah ditangguhkan daripada 1 Jun 1963 ke 31 Ogos 1963 kerana menunggu Laporan Suruhanjaya Cobbold. Namun tarikh tersebut pula ditangguhkan setelah Indonesia dan Filipina emperhebatkan tentangan mereka terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia.  Dan akhirnya 16 September 1963 menjadi hari secara rasminya Persekutuan Malaysia ditubuhkan.

 

Namun, Hari Malaysia dan sejarahnya ini akan hanyut ditelan zaman. Sekalipun tidak hilang, tetapi apalah nilai Hari Malaysia jika sejarahnya hanya tersimpan di arkib, perpustakaan dan memori generasi lama? Apakah generasi muda sedar akan kewujudan Hari Malaysia?

 

Jawapan yang ada mungkin ya dan mungkin tidak, kerana tiada kajian rasmi yang menunjukkan persepsi ini. Namun, cubalah kita bertanya-tanya dengan anak-anak kita, cucu-cucu kita atau tanya sahaja dengan belia remaja yang kita temui di pusat-pusat membeli belah, yang sedang meladeni diri di kaki-kaki jalan dan yang terperuk di rumah memaku matanya pada skrin TV atau komputer. Jawapan yang kita terima, mungkin boleh dijadikan sebagai gambaran persepsi di atas.

 

Tulisan ini gambaran persepsi yang diterima melalui jawapan-jawapan daripada belia remaja sekeliling penulis. Hasilnya, penulis kecewa dan gusar akan nasib Hari Malaysia dan sejarahnya di masa mendatang. Ya, ada yang sedar akan kewujudan Hari Malaysia, tetapi apakah nilaiannya pada mereka? Apatah lagi yang tidak sedar akan kewujudan Hari Malaysia. Ini merupakan satu fenomena tidak sihat dalam perkembangan diri generasi muda. Buta sejarah akan menjadikan mereka rapuh jati diri yang akan merendahkan semangat patriotik pada diri mereka.

 

Permasalahan ini tidak dapat hanya kita sandarkan penyelesaiannya melalui pengajaran dan pembelajaran subjek Sejarah dan Pendidikan Sivik di sekolah. Kesedaran tentang kewujudan Hari Malaysia tidak boleh hanya terkurung dalam kurikulum pendidikan formal di sekolah. Penghayatannya perlu dalam bentuk interpretasi dalam kehidupan realiti.

 

Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos saban tahun merupakan contoh terbaik kesedaran melalui kurikulum pendidikan sekolah dan penghayatan melalui interpretasi dalam kehidupan realiti. Kita belajar akan Hari Kemerdekaan di sekolah dan kita lihat betapa pentingnya tarikh tersebut melalui sambutan gilang-gemilang menyambut tarikh tersebut.

 

Nah, tentu sahaja memberi kesan yang membekas pada diri generasi muda untuk memahami bahawa Hari Kemerdekaan merupakan satu peristiwa penting dan sejarahnya akan terus hidup dalam diri mereka. Justeru, cadangan menaik taraf penghargaan terhadap Hari Malaysia merupakan satu cadangan yang praktikal dan signifikan demi memastikan Hari Malaysia dan sejarahnya akan terus wujud dan hidup dalam diri generasi muda.

 

Penarafan semula penghargaan terhadap Hari Malaysia boleh sahaja dilaksanakan melalui sambutan rasmi sama ada di peringkat negeri dan kebangsaan. Selain itu, hebahan melalui media cetak mahupun televisyen melalui pemaparan imbauan sejarah juga penting untuk menyebarkan kesedaran dan menanam penghayatan akan peristiwa penting pada tarikh tersebut. Bukan hanya setakat sebagai bahan bualan oleh hos rancangan televisyen atau tajuk rencana akhbar, Hari Malaysia perlu dijadikan sebagai tema rasmi dalam media cetak dan televisyen untuk tarikh 16 September tersebut.

 

NGO atau organisasi masyarakat setempat juga boleh memainkan peranan penting dalam menyebarkan kesedaran dan penghayatan Hari Malaysia di peringkat akar umbi masyarakat. Melalui penganjuran sambutan Hari Malaysia di peringkat kampung, kawasan perumahan atau dengan acara forum, ceramah, tayangan filem dan lain-lain akan membantu masyarakat khususnya generasi muda untuk memahami mesej betapa taikh 16 September merupakan tarikh penting yang mengandungi peristiwa yang cukup signifikan untuk Malaysia.

 

Mungkin juga pengisytiharan tarikh 16 September setiap tahun sebagai hari cuti umum untuk seluruh negeri akan menunjukkan betapa kerajaan Malaysia benar-benar serius dalam menghargai Hari Malaysia. Pengisytiharan cuti umum ini akan membuka ruang untuk sambutan gilang-gemilang sempena Hari Malaysia dilaksanakan.

 

Tentu sahaja rakyat di Sarawak dan Sabah akan lebih merasakan kebersamaan mereka sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia secara keseluruhan. Maka Hari Malaysia akan dirai bersama sebagai bukti kesedaran dan penghayatan seluruh rakyat daripada seluruh negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia.

 

Seperti mana generasi muda sedar akan Hari Kemerdekaan tanggal 31 Ogos setiap tahun, maka begitu jugalah mereka akan sedar akan peri penting tarikh 16 September dalam lipatan sejarah Malaysia melalui penghayatan yang selayaknya untuk Hari Malaysia.

 

Jangan biarkan generasi muda terus dilupakan tentang sejarah Malaysia yang dipenuhi dengan warna-warni perjuangan generasi terdahulu. Penghargaan yang setimpal harus diraikan untuk peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Malaysia yang membentuk Malaysia seperti yang kita lihat hari ini. Melalui kesedaran sejarah, maka generasi muda akan mampu menghayati nilai sebenar Malaysia.

 

PENULIS ialah Yang Dipertua, Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (Perkepis)

sumber : Berita Harian

 

Penubuhan Malaysia 16 September 1963

 

Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra dalam satu ucapan beliau di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961, telah menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak ke dalam satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi.

 

Antara lain, kerjasama ini perlu diadakan adalah bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis yang semakin ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau. Pendirian kerajaan ini adalah berdasarkan kepada perkembangan politik di Singapura yang memperlihatkan peningkatan pengaruh golongan kiri. Di samping itu juga gagasan ini bertujuan untuk mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak.

 

Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura pada 23 Julai 1961 telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia dengan dipengerusikan oleh Donald Stephen. Tujuan penubuhan Jawatankuasa ini adalah untuk menerangkan dengan lebih jelas tentang konsep Malaysia kepada orang ramai khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei. Dalam Jawatankuasa ini, perwakilan dari Tanah Melayu terdiri daripada ahli-ahli Parlimen.

 

Perwakilan Singapura terdiri daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Undangan termasuk seorang ahli parti pembangkang. Anggota perwakilan dari Sarawak adalah ahli-ahli Majlis Negeri Sarawak, begitu juga dengan Sabah. Jawatankuasa ini telah bermesyuarat sebanyak empat kali untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan penubuhan Malaysia. Mesyuarat pertama diadakan di Sabah pada Ogos 1961, seterusnya di Kuching, Sarawak pada Disember 1961 dan di Kuala Lumpur pada Januari 1962. Mesyuarat terakhir telah diadakan di Singapura pada Februari 1962. Dalam mesyuarat terakhir itu Jawatankuasa bersetuju untuk mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold supaya dibuat tinjauan mengenai pandangan penduduk di Sarawak dan Sabah terhadap gagasan Malaysia.

 

Memorandum yang dipersetujui Jawatankuasa tersebut mengandungi beberapa perkara penting untuk dijadikan asas kepada perlembagaan yang akan dirancang. Jawatankuasa ini bersetuju supaya perlembagaan Tanah Melayu dijadikan asas kepada perlembagaan Malaysia. Antara perkara lain yang dipersetujui ialah tentang perlunya ada sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat dan berkuasa dalam hubungan luar, pertahanan dan keselamatan juga mengenai agama Islam diterima sebagai agama rasmi.

 

Pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 adalah bagi memberi kebebasan dan keadilan kepada semua pihak. Suruhanjaya ini dibentuk hasil perundingan di antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British pada November 1961. Tujuan penubuhan Suruhanjaya ini adalah untuk meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak tentang gagasan Malaysia.

 

Suruhanjaya ini dianggotai oleh lima orang ahli dengan dipengerusikan oleh Lord Cobbold, bekas gabenor Bank England, ahli-ahlinya terdiri daripada Dato’ Wong Pow Nee dan Encik Mohd Ghazali bin Shafie, sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, manakala Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston, wakil kepada kerajaan British. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.

 

Sepanjang Februari-hingga April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri dari parti-parti politik, ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan dan Undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan pandangan.

 

Hasil dari laporan ini menunjukkan sejumlah 80 peratus penduduk Sarawak dan Borneo Utara menyokong kepada penubuhan Malaysia. Sokongan rakyat ini jelas dibuktikan melalui laporan Suruhanjaya Cobbold yang telah disahkan oleh perwakilan Setiausaha Bangsa-Bangas Bersatu. Selain itu, laporan itu juga memuatkan cadangan-cadangan daripada ahli-ahli Suruhanjaya berhubung beberapa perkara yang dinyatakan melalui memorandum-memorandum yang diterimanya.

 

Pada 21 Jun 1962 laporan ini telah dikemukakan kepada Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Setelah dikaji, kedua-dua kerajaan bersetuju menerima hampir semua cadangan yang telah dibuat oleh Suruhanjaya tersebut. Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Tanah Melayu juga menerima laporan Suruhanjaya Cobbold.

 

Beliau telah membentuk sebuah Jawatankuasa untuk mengkaji laporan itu yang telah dipengerusikan oleh beliau sendiri dan anggota-anggota yang lain terdiri dari Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri), Tan Siew Sin (Menteri Kewangan), Datuk (Dr) Ismail Dato’ Abdul Rahman (Menteri Keselamatan Dalam Negeri) dan Datuk V.T. Sambanthan (Menteri Kerja Raya dan Telekom).

 

Kata sepakat telah dicapai oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut telah berlangsung selama 2 minggu. Pada Julai 1963 satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London.

 

Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Persetujuan telah di peroleh untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia yang dirancang pada tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan kerana laporan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963. Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Upacara gilang gemilang ini telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Upacara ini juga dihadiri oleh anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.

 

Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah tersebut. Tunku kemudiannya melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali diselang seli dengan laungan oleh rakyat yang hadir. Upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji Ahmad bin Mohammad Said.

 

Rentetan Peristiwa

 

27 Mei 1961

Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman semasa Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura telah menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo, Brunei dan Sarawak kedalam satu bentuk kerjasama politik.

 

23 Julai 1961

Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia dipengerusikan oleh Donald Stephen.

 

Ogos 1961

Mesyuarat pertama Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Sabah

 

18-20 Disember 1961

Mesyuarat kedua Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Kuching Sarawak

 

6-7 Januari 1962

Mesyuarat ketiga Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Selangor Legislative Assembly Chamber, Kuala Lumpur

 

17 Januari 1962

Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan bagi meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara(Sabah) dan Sarawak. Suruhanjaya dianggotai oleh lima orang ahli iaitu Lord Cobbold, Dato’ Wong Pow Nee, En. Mohd Ghazali Shafie, Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston. Mr H. Harris bertindak sebagai Setiausaha

 

3-4 Februari 1962

Mesyuarat keempat Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia

 

21 Jun 1962

Laporan Suruhanjaya Cobbold telah disiapkan dan dikemukakan kepada kerajaan British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu

 

Julai 1962

Kata sepakat dicapai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Tuan Harold MacMillan Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan.

 

9 Julai 1963

Perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British,Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

 

16 September 1963

Upacara pengisytiharan Malaysia diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dihadapan lebih kurang 30 000 rakyat Malaysia

 

sumber : www.arkib.gov.my

 

Add comment

Sila catatkan ulasan anda dengan BERHEMAH.Kata-kata yang berbentuk provokasi terhadap sensiviti sesuatu isu, individu & berbentuk perkauman adalah DILARANG.

Ulasan berbentuk promosi pautan web/blog akan dipertimbangkan untuk siaran.

Pentadbir laman berhak memadam mana-mana ulasan yang difikirkan tidak sesuai dipaparkan.

Terima kasih atas kerjasama anda.


Security code
Refresh

Find us on Facebook
Follow Us
SKSB@Youtube
RSS Feed